Sebaliknya hasil keputusan kolektif dengan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan semua pihak yang terbabit, Program Podium yang merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya melantik Brooker sebagai penolong jurulatih sahaja buat masa ini menerusi kontrak selama dua tahun sebagai permulaan.

Pengarah Program Podium, Timothy O’Brien Newenham ketika mengesahkannya berkata, keputusan drastik ini terpaksa dibuat selepas mengambil kira latar belakang Brooker, 36, yang masih kurang pengetahuannya tentang selok belok sukan terjun negara ini.

“Selepas mengambil pandangan semua pihak dan membuat keputusan secara kolektif termasuk ASUM, Podium membuat keputusan melantik penolong kepada Zhuliang sebelum ini ia­itu Zhang Yikun yang dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih.

“Ini berdasarkan pengalaman­nya yang sudah lama bersama skuad terjun negara berbanding Brooker yang masih baharu dan perlu mengenali lebih dekat budaya, kemudahan, dan penerjun terbaik negara yang akan dibimbingnya,” kata Newenham dalam sidang akhbar memperkenalkan Brooker di ISN Bukit Jalil dekat sini hari ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, Newenham turut mengesahkan, Brooker terpaksa menunggu permit kerja yang belum diperolehinya walaupun sudah seminggu tiba dan meninjau persiapan skuad terjun negara.

Mengenai masalah bahasa yang bakal dihadapi kedua-dua jurulatih berikutan Yikun yang tidak boleh berbahasa Inggeris, Newenham berkata, ini merupakan perkara biasa dalam sukan di seluruh dunia.

“Ia bukan penghalang, sebaliknya perkara biasa dalam sukan. Yang penting adalah persefahaman yang baik antara kedua-dua­nya kerana masalah bahasa secara automatik akan dapat diatasi dengan sendirinya,” tegas Ne­wenham.

Yikun, 53, yang berada dalam sidang akhbar sama turut mengakui ia bukan ma­salah besar yang perlu dibimbangkan kerana selain sedang berusaha mempelajari bahasa Inggeris, beliau juga boleh menggunakan kemudahan teknologi untuk menterjemahkan apa yang diperkatakan Brooker.

“Saya akan meneruskan apa yang baik pernah dilakukan Zhuliang dan meninggalkan apa yang buruk. Saya akan cuba mewujudkan persekitaran baharu dalam skuad terjun Malaysia terutama dalam menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 nanti,” kata jurulatih dari China itu yang sudah menyumbang kepakarannya di negara ini sejak 2012, sebelum bermulanya Sukan Olimpik di London.

Isu pelantikan ketua jurulatih ini menjadi tumpuan selepas Program Podium tidak menyambung kontrak Zhuliang rentetan daripada kes positif doping membabitkan Wendy Ng pada Sukan SEA 2017 lalu dan kes membabitkan seorang penerjun negara yang didakwa dirogol seorang lagi penolong jurulatih terjun negara.