Ini ditegaskan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang berkata, ia berbeza berbanding penilaian yang dibuat enam bulan sekali sebelum ini.

“Lembaga Pengurus MSN akan bersidang empat kali setahun kali ini untuk menilai prestasi atlet dan mereka yang mempamerkan kemerosotan akan dikaji semula kontrak mereka dan diturunkan kepada kategori atlet yang menerima peruntukan yang lebih rendah.

“Ini antara syarat ketat yang MSN cadang untuk dilaksanakan selepas mengambil alih program Podium yang distruktur semula ini. Tujuannya untuk memastikan atlet elit ini benar-benar berusaha bersungguh-sungguh sesuai dengan peruntukan tinggi yang mereka terima.

“Kita mahu perbelanjaan besar yang disediakan kepada mereka berbaloi dalam mencapai matlamat utama kerajaan untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik pada tahun 2020 di Tokyo, Jepun nanti,” katanya.

Shapawi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Bengkel Penetapan Program Latihan 2019 yang disem­purnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di MSN, Bukit Jalil dekat sini hari ini.

Sebanyak 26 persatuan sukan mengambil bahagian dalam bengkel selama dua hari itu yang turut disertai wakil daripada MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bertujuan merangka gerak kerja bagi memastikan program latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan tersusun selain mengenalpasti atlet cemerlang untuk mengi­kutinya.

Difahamkan seramai 537 orang atlet dan 114 jurulatih telah dicadangkan oleh pihak persatuan berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan. Senarai ini akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan yang bakal diadakan pada 27-28 November nanti.

Sukan SEA Manila 2019 akan menjadi ujian pertama akan keberkesanan program latihan yang dirancang ini diikuti Sukan Olimpik 2020 serta Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2022.