Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan berkata, pe­nganjuran aktiviti sukan seperti Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan dapat menghindarkan orang muda daripada terjebak dengan gejala sosial termasuk aktiviti perjudian dan kunjungan ke kelab malam.

Adnan berkata, sepak takraw boleh menjadi aktiviti alternatif kepada orang muda yang pada masa ini gemar menyertai kegiatan yang bertentangan dengan norma masyarakat.

“Kita perlu mempunyai gelanggang khusus jika mahu mengadakan permainan badminton atau futsal. Untuk bola sepak pula, permainan ini memerlukan padang yang besar selain pemain yang ramai.

“Sepak takraw mempunyai ke­lebihan tersendiri kerana sukan ini tidak memerlukan pemain yang terlalu ramai tetapi pasukan kecil sahaja. Kos pembinaan kemudahan sepak takraw juga tidak semahal sukan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2015 di ruang legar utama, pusat beli belah Alamanda di sini, kelmarin.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Ketua Pegawai Pemasaran Digital dan Teknologi Maklumat KFC Malaysia, Ahmad Taufek Omar.

Dalam pada itu, Adnan berkata, minat terhadap sepak takraw kini tidak lagi terhad di rantau Asia Tenggara semata-mata, malahan sudah mendapat sambutan di Eropah, Amerika Syarikat, China dan banyak negara lain.

“Malaysia sendiri pernah menjadi jaguh dalam sukan ini, walaupun prestasi kita lebih suram kebelakangan ini.

“Usaha Utusan dan KFC Malaysia amat baik dan diyakini dapat menghidupkan semula sepak takraw sebagai sukan popular di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Taufek berkata, penganjuran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan diharapkan dapat memberi impak positif kepada sukan sepak takraw selain membantu melahirkan masyarakat yang cergas dan sihat.

“Aktiviti bersukan dapat membentuk disiplin dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan anak muda.

“Penganjuran kejohanan ini juga dapat menjadikan permainan tradisi sepak takraw sebagai sukan kegemaran masyarakat,” katanya.