MOHD. POAD KASSIM (kanan) bersama Khairul Hafiz Jantan yang memenangi pingat emas dalam acara 100m , 200m , 4x100 dan 4x400 Sukma 2016 di Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam.

Bagi yang masih belum mengenali lelaki berusia 46 tahun itu, Mohd. Poad merupakan individu penting yang bertanggungjawab membentuk jaguh pecut Malaysia yang baharu, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap sehingga ke tahap sekarang.

Utusan Malaysia berkesempatan menemubual jurulatih olahraga negeri Melaka itu, pada hari terakhir sukan olahraga dilangsungkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Stadium Sarawak, hari ini.

Hasil temubual itu memang agak mengejutkan apabila Mohd. Poad memaklumkan, dia hanya pernah mewakili sekolah dalam sukan olahraga, sebelum beralih arah menyertai sukan bola tampar, bermula dengan mewakili maktab perguruan hingga ke peringkat kebangsaan.

“Saya terlibat dalam olahraga semasa sekolah, masa itu wakil sekolah sahaja. Acara saya 110m (lari berpagar), lompat kijang...lompat tinggi. Sewaktu sambung belajar di maktab (perguruan) saya tukar sukan bola tampar, wakil maktab hingga peringkat kebangsaan,” katanya.

Tanpa latar belakang yang hebat seperti segelintir jurulatih olahraga yang pernah mewakili negara dalam sukan itu, Mohd. Poad membuktikan dirinya merupakan seorang individu hebat yang bijak menghidu bakat anak-anak tempatan.

Menceritakan tentang permulaan kariernya sebagai jurulatih, beliau memberitahu, sebaik sahaja tamat pengajian di maktab pada 1997, tugas pertamanya ialah selaku guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, Melaka.

“Selama enam tahun di sana, dan semasa 1997 saya mula bawa budak berlatih dengan saya. Untuk bawah 12 (tahun), di bawah saya memang ada wakil negeri Melaka pada masa tu. Masa itu saya (berpeluang) tingkatkan lagi ilmu dalam bidang kejurulatihan.

“Saya ambil kursus jurulatih tahap satu di Melaka. Selepas itu saya ambil Sains Sukan sehingga ke tahap dua di Majlis Sukan Negeri Perlis dan dua tahun lepas saya ambil pengkhususan olahraga tahap tiga di Melaka anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), saya ambil bahagian pecut.

“Kursus itu kelolaan Robert Ballard (bekas Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia), saya banyak timba ilmu daripada dia untuk saya terapkan kepada atlet saya,” ujarnya.

Mohd. Poad juga mendedahkan bahawa beliau turut menimba ilmu di internet tentang bagaimana atlet luar negara berlatih dan selepas itu cuba menerapkan pengetahuan tersebut dengan mengubah suai serba sedikit teknik yang dipelajarinya.

“Alhamdulillah ada kesannya, dan saya rasa apa yang saya sasarkan dalam masa lapan tahun, budak saya telah berjaya mewakili negara. Khairul Hafiz saya kesan bakat dia semasa pertandingan peringkat kawasan negeri Melaka.

“Bila saya tengok dia lari, saya terus panggil dia setiap petang berlatih dengan saya. Pada umur 16 tahun saya tarik dia masuk ke SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail),” jelasnya yang mula mengesan bakat Khairul Hafiz serta Badrul Hisyam sejak usia mereka 10 dan 15 tahun.

Menerapkan disiplin yang ketat dalam kehidupan seharian atlet-atletnya dan penekanan kepada solat lima waktu menjadi rahsia Mohd. Poad membentuk anak-anak buahnya berjaya sehingga ke tahap sekarang.