Perdana Menteri berkata, pencapaian mereka tetap menjadi kebanggaan setelah berjuang demi meraih emas, namun tidak kesampaian apabila tewas 
5-12 kepada juara bertahan, Thailand pada aksi penentu juara itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pasukan bola keranjang kerusi roda. Meskipun kita menjadi naib johan tetapi mereka telah cuba sedaya upaya. Ini merupakan satu rangsangan dan kebanggaan untuk pasukan negara yang bermain dalam sukan lain.

“Saya berharap rakyat Malaysia terus memberikan sokongan yang padu kepada semua pasukan kita dalam apa jua acara sehingga tamatnya Sukan Para ASEAN ini,” katanya selepas menyaksikan perlawanan itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Hadir sama menyaksikan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

Malaysia mengulangi skrip edisi lalu dengan meraih perak apabila mengumpul 7 mata, manakala Thailand emas (8 mata) dan Filipina gangsa (6 mata) dalam saingan yang menggunakan format round robin itu.

Dalam pada itu, jurulatih kebangsaan, Abbas Aghakoucheki Hossien berkata, dia menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka sambil menyifatkan pasukan Gajah Putih itu amat sukar ditandingi.

“Kita kena tahu pemain Thailand mempunyai kelebihan daripada segi ketinggian. Saya akui aksi tadi kita tidak hambar. Ada tujuh atau lapan percubaan dibuat, namun bola gagal memasuki jaring. Kita banyak hilang fokus dan kurang konsentrasi,” katanya.