Walaupun memuji pencapaian mengagumkan oleh atlet Thailand dalam temasya dwitahunan itu, Chan-o-cha berkata, “persatuan sukan tertentu” di negaranya masih dibelenggu masalah yang wajar diperbaiki sekembalinya mereka ke tanah air.

“Perkara normal bagi tuan rumah mendapat lebih banyak (pingat emas) kerana persediaan mereka.

“Perkara sama berlaku apabila kami menjadi tuan rumah, apabila kami juga dapat menentukan sukan (untuk dipertandingkan) dan kali ini mereka (Malaysia) membuat persediaan yang lebih baik,” katanya di Rumah Kerajaan, menurut laporan Bernama hari ini.

Walaupun menduduki tempat kedua di belakang Malaysia dalam kedudukan pungutan pingat keseluruhan dan kehilangan mahkota rantau ini, Perdana Menteri itu menegaskan, dia masih gembira de­ngan persembahan cemerlang atletnya dan kerana kegigihan mereka.

“Saya gembira kami di tempat kedua walaupun saya mahukan mereka di tempat pertama,” katanya.

Ulasan Chan-o-cha itu menyusul selepas banyak kecaman dilontar media dan peminat Thailand terhadap Malaysia berhubung aspek penganjuran Sukan SEA.

Selain mengecam tuan rumah berhubung hal remeh-temeh ketika temasya itu se­perti kekurangan makanan dan pengangkutan atlet, Malaysia dituduh tidak mengamalkan semangat kesukanan dalam memburu pingat emas terba­nyak sekali gus muncul juara keseluruhan.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Bangkok Post dalam satu artikel bertajuk ‘Satu tradisi hodoh berterusan di Malaysia’ berkata, rasa tidak puas hati diluahkan penyokong dan wartawan Thailand dengan marah dan menggelarkan Sukan SEA Kuala Lumpur sebagai ‘SEA Kong’ atau SEA Penipu.

Akhbar itu turut berkata, ketua kontinjen Thailand ke temasya itu, Thana Chaiprasit mendakwa bahawa pengadilan kali ini sebagai yang terburuk dibandingkan dengan Sukan SEA lain atau Sukan Asia dan Olimpik.

Dia turut mendakwa pegawai dari negara lain turut mempunyai pandangan sama.

Di sebalik pandangan kasar Bangkok Post, akhbar harian popular berbahasa Inggeris, The Nation lebih menganalisis dalam penilaiannya terhadap prestasi Thailand, sebaliknya memilih untuk menyalahkan kemerosotan kualiti atletnya.

“Thailand jelas sekali gagal dalam ‘sukan antarabangsa’. Dalam kata lain, jika prestasi sukan rantau (tradisi) dari segi kedudukan pingat, negara ini masih mengekori Malaysia, Si­ngapura dan Vietnam,” katanya.

Kemasukan sukan tradisi dalam Sukan SEA, kata akhbar itu, akan digunakan sebagai satu alasan oleh Thailand jika kalah kepada Malaysia namun tidak boleh terus digunakan lagi.