Zairullah Yusuf

PLN Kelantan A mara ke final selepas menewaskan Pasir Mas 17-21, 10-21 dalam separuh akhir manakala PLN Kelantan B menumpaskan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Pegoh C 21-15, 21-11 di Kompleks Sukan Negeri, Paroi hari ini dan kedua-dua pasukan itu bakal berentap di pusat beli-belah Quill City Mall, Kuala Lumpur esok.

“Selepas MSSM (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia) pada Mac lalu saya memang mensasarkan untuk mara ke perlawanan akhir bagi kedua-dua pasukan yang dihantar ke kejohanan ini dan saya bersyukur kami berjaya menepati sasaran.

“Sudah pasti saya berpuas hati kerana bukan sahaja dapat dua pasukan layak ke akhir malah mereka juga menunjukkan kemampuan sebenar dalam aksi separuh akhir.

“Kejayaan ini dapat dicapai kerana pasukan kami mendapat kerjasama dengan baik daripada Pusat Latihan Daerah (PLD) di Kelantan dan saya amat berterima kasih dengan sokongan serta kerjasama yang diberikan,” katanya.

Tambah Zairullah, dia berharap anak-anak buahnya tidak mengambil mudah perlawanan akhir esok memandangkan mereka menentang sesama sendiri.

“Perlawanan akhir nanti PLN Kelantan A akan menentang PLN Kelantan B dan saya tahu hadiah kemenangan pasti menjadi milik kami. Tetapi saya mengingatkan pemain agar memberi aksi sebenar dan menganggap menentang dengan pasukan berlainan.

“Ini kerana saya mahu mengetengahkan pemain saya untuk diserapkan ke Sekolah Sukan Negeri (SSN) supaya mereka dapat mengembangkan lagi bakat dalam sepak takraw,” katanya.

Sebagai rekod, MSS Pahang A merupakan juara edisi tahun laku.