PLN Kelantan B muncul juara B-12 selepas menundukkan rakan sepasukan PLN Kelantan A 21-14, 21-16 dalam perlawanan akhir di pusat beli-belah Quill City Mall dan kesemua pemain yang membarisi kedua-dua pasukan tersebut berusia 12 tahun dan mereka bakal memasuki sekolah menengah pada tahun depan.

“Untuk mencari bakat baharu bukan mudah kerana memerlukan penglibatan daripada semua pihak. Memandangkan semua pemain saya pada tahun ini berusia 12 tahun nampaknya saya perlu cari pemain baharu dan usaha itu akan dimulakan pada November ini.

“Kami akan mengadakan kem Libasan Emas pada bulan tersebut untuk mencari pemain pelapis dan kemudian kami akan meneruskan program latihan hingga Mac depan yang mana berlangsungnya Kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia).

“Kami akan mengumpul pemain terbaik dari setiap daerah menerusi Pusat Latihan Daerah (PLD) di seluruh Kelantan dan dari situ kami akan membuat saringan. Pemain terbaik akan dimasukkan ke Pusat Latihan Ne­geri (PLN) yang terletak di Kota Bahru,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan anak-anak buahnya dalam perlawanan akhir, jurulatih berusia 42 tahun itu tidak berpuas hati dengan prestasi mereka namun menjelaskan bukan disebabkan lawan sesama sendiri.

“Saya tidak berpuas hati dengan persembahan pemain kerana mereka seperti lambat panas, mungkin disebabkan beraksi dalam kawasan berhawa dingin telah memberi kesan kepada persembahan mereka,” katanya.

PLN Kelantan B menerima hadiah wang tunai RM4,000 berserta trofi dan pingat manakala PLN Kelantan A membawa pulang RM1,500.

“Penyertaan kami pada kali ini memang mensasarkan kedua-dua pasukan mara ke perlawanan akhir dan sebelum menyertainya lagi saya sudah bercakap kepada setiap pemain bahawa jika menang, hadiah akan dikongsi sama rata,” katanya lagi.