Platini dihukum gantung lapan tahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 21 Di­sember lalu, bersama Presiden, Sepp Blatter.

Warga Perancis itu akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut dan menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Hukuman penggantungan itu mempunyai perkaitan dengan pembayaran dua juta Swiss Franc (RM8.65 juta) yang dibuat Blatter kepada Pla­tini pada 2011 iaitu sembilan tahun selepas dia menamatkan khidmatnya sebagai perunding Blatter.

Pada 27 Disember lalu, Platini menghadiri Anugerah Bola Sepak Global yang dianjurkan Majlis Sukan Dubai di Dubai, yang turut dihadiri bintang bola sepak seperti penyerang Argentina, Lionel Messi dan pemain Itali, Andrea Pirlo.

Platini dilihat bergambar pada maj­lis tersebut dan turut memberikan ulasan tentang hukuman penggantungan ke atasnya kepada media Itali sewaktu berada di Dubai.

Jurucakap Jawatankuasa Etika FIFA enggan memberikan sebarang komen berhubung kes tersebut, tetapi berkata: “Secara umum, pihak Jawatankuasa Etika FIFA akan me­lancarkan siasatan terhadap sebarang pelanggaran Kod Etika FIFA.”

Jurucakap Platini bagaimanapun tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk memberikan ulasan berhubung kemelut terbaharu itu.

Pada 21 Disember lalu, Jawatankuasa Etika FIFA yang dipengerusikan oleh Hans-Joachim Eckert telah menyatakan bahawa Blatter dan Platini digantung selama lapan tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak (pentadbiran, sukan dan sebarang aktiviti lain) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Hukuman itu berkuatkuasa serta-merta.

Platini sebelum ini memberitahu, dia akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya, yang mana perbicaraan itu bakal di bawa ke Mahkamah Timbang Tara di Lausanne, Switzerland.

Malah, Platini dengan lantang mengkritik keputusan Jawatankuasa Etika tersebut. Blatter turut mendedahkan bahawa dia juga akan mengemukakan rayuan. –REUTERS