Abu Samah
Abu Samah

Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab bagaimanapun belum bersedia untuk mendedahkan nama syarikat pengendali terbabit buat masa ini bagi tujuan dokumentasi tetapi mengakui ia tiada kaitan langsung dengan pengendali LTdL 2017 iaitu Ciclista Sports Sdn Bhd.

“Apa yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia semalam adalah benar kerana exco PKBM sebulat suara telah membuat keputusan bersetuju melantik syarikat baharu itu pada minggu lalu lagi dalam satu mesyuarat pada 7 Oktober.

“Exco PKBM membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan taklimat yang diberikan syarikat terbabit pada 23 September lalu,” katanya yang turut mengesahkan telah pun memaklumkan pelantikan tersebut kepada KBS.

Dengan pengesahan daripada PKBM itu, LTdL kembali dikendalikan syarikat swasta sepenuhnya tanpa perlu lagi bergantung kepada KBS sebagai penyalur dana sejak 2007, sekaligus berjaya menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sebelum ini mahukan perlumbaan itu jangan mengharapkan bantuan kerajaan sahaja dalam menganjurkannya setiap tahun.

Ini bermakna buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun, perlumbaan berstatus Hors itu akan berdiri sendiri tanpa tajaan daripada kerajaan selepas kali terakhir First Cartel mengendalikannya pada 2006.

Difahamkan ketika ini, pengendali baharu LTdL 2018 itu sedang berusaha mendapat penajaan daripada syarikat besar dan hanya menunggu masa untuk tampil membuat pengumuman rasmi mengenainya.

Abu Samah turut mengesahkan, pelantikan pengendali baharu LTdL itu tiada kaitan dengan kegagalan pengendali 2017 iaitu Ciclista Sports membayar wang hadiah kemenangan kepada pelumba dan pasukan luar yang masih tertunggak sehingga kini.

Bagaimanapun, katanya, wang hadiah kemenangan kepada pelumba dan pasukan tempatan telah pun dijelaskan minggu lalu. Sejumlah hampir RM1 juta ditawarkan sebagai wang hadiah kemenangan pada LTdL 2017 lalu.