Mohd. Badhri atau Piya berkata, meskipun usianya bakal mencecah 37 tahun musim depan ia sama sekali tidak mematahkan semangat untuk membantu Perlis kembali bangkit selepas tenggelam dalam beberapa musim sebelum ini.

Menurutnya, walaupun bukan tugas mudah namun dengan bantuan rakan-rakan sepasukan impian itu pasti mampu dilaksanakan.

“Saya berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kerana masih mempercayai kemampuan diri ini.

“Jadi peluang ini saya akan gunakan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh PFA,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Piya memberitahu, peluang bersama Singa Utara akan dijadikan pentas untuk mengembalikan semula perjalanan karier bola sepaknya yang hampir ‘terpadam’ sebelum ini.

Utusan Online 16 November lalu melaporkan Perlis berminat untuk mendapatkan khidmat Piya bagi memperkuatkan pasukan itu musim 2019.

Musim 2018 menjadi ‘titik hitam’ buat Piya apabila Kelantan membuat kejutan dengan mengugurkannya pada pertengahan musim sekaligus menenggelamkan nama jeneral padang TRW itu.

Anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu merupakan salah seorang tulang belakang TRW ketika merangkul kejuaraan trebel musim 2012 lalu selain dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga M 2013. -UTUSAN ONLINE