Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, persatuan sukan perlu membuat rayuan dan menghantar nama atlet kategori B masing-masing untuk dipertimbangkan ke kategori A sebelum senarai penuh diserahkan kepada penganjur pada 30 Jun depan.

Beliau berkata, setakat ini jumlah atlet bagi kategori A adalah 195 manakala kategori B sebanyak 242 atlet.

“Apabila kita memulakan proses pemilihan akhir, kita mengadakan mesyuarat dalaman dengan Majlis Sukan Negara (MSN), mereka tiada ada-apa petunjuk mengenai jumlah sebenar atlet untuk ke Sukan Asia.

“Maka, kita menetapkan secara konservatif empat teratas, namun kita masih berbincang dengan MSN dan saya menyatakan persatuan sukan boleh mengemukakan rayuan. Ini kerana terdapat beberapa atlet, pada dasarnya masih boleh dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam kategori A,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan Sukan Asia di Wisma MOM di sini hari ini.

Penyertaan dalam kategori A menyaksikan atlet akan diberi tajaan penuh, manakala kos atlet kategori B perlu ditanggung pihak persatuan masing-masing.

Bagaimanapun, perbelanjaan atlet kategori B itu akan dibayar semula sekiranya atlet persatuan sukan berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, MOM dan MSN akan berbincang mengenai peruntukan melibatkan lebih ramai atlet daripada kategori B yang akan disenaraikan dalam kategori A.

Media tempatan hari ini melaporkan MOM memperketatkan kriteria pemilihan atlet ke Sukan Asia bagi kategori A iaitu atlet perlu berada pada ranking empat terbaik berbanding enam sebelum ini, namun berikutan bilangan kontinjen yang besar, MOM sedia mempertimbangkan menambah bilangan atlet bagi kategori A.

Mohamad Norza turut mengumumkan dua Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan Asia, iaitu Ketua Program Podium Dr P. Vellapandian akan ditempatkan di Jakarta.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Datuk Dr S.S. Cheema, ditugaskan di Palembang. - BERNAMA