MICHAEL PHELPS

“Saya suka membawa perbezaan. Saya gembira jika dapat menyelamatkan nyawa orang lain. Bagi saya ia lebih penting daripada memenangi pingat emas,” kata Phelps dalam sesi temuramah bersama CNN.

Phelps telah merangkul 23 emas dan 28 pingat keseluruhannya sepanjang kariernya di Sukan Olimpik bermula daripada temasya Sydney 2000 sehingga Rio 2016.

“Saya mampu melakukan beberapa perkara luar biasa di kolam renang dan saya bergelut dalam menjalani kehidupan seharian. Ada satu ketikanya saya merasakan tidak mahu lagi meneruskan hidup,” jelasnya.

Phelps berkata demikian ketika diminta mengulas isu kemurungan yang dihadapinya selepas mula mengalami zaman kejatuhan pada Olimpik London 2012 yang mana dia pernah duduk bersendirian di dalam bilik selama sehari.

Bekas atlet berusia 33 tahun itu yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua cahaya mata, berkata sehingga kini dia masih berdepan masalah kemurungan.

“Dua atau tiga minggu lalu saya melalui satu tempoh kemurungan yang merisaukan. Ini akan menjadi masalah yang akan terus menghantui saya seumur hidup,” ujarnya yang mengakui tempoh rawatan dengan pakar terapi, selain dorongan isterinya, Nicole turut membantu mengurangkan masalah itu. – REUTERS