Walaupun hukuman itu agak berat berbanding dua pemanah Terengganu dan Kedah yang hanya digantung enam dan lapan bulan, Setiausaha Kehormat PTAM, Mohd. Shamsul Deran berkata, badan induk itu mahu memberi pengajaran bukan sahaja kepada petinju terbabit tetapi juga petinju lain di peringkat negeri mahu pun kebangsaan.

“Jawatankuasa Tatatertib PTAM selepas mendengar alasan yang diberikan bagaimanapun tetap bertoleransi dalam menjatuhkan hukuman tersebut berbanding penggantungan empat tahun yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA). Ini kerana kami juga mengambil kira usia petinju Pulau Pinang ini yang baru 21 tahun.

“Tempoh penggantungan dua tahun tidaklah begitu lama kerana dia masih ada peluang untuk melibatkan diri semula dalam tinju. Berdasarkan siasatan yang dilakukan, dia masih berminat dan bersemangat untuk bertinju selepas selesai penggantungan nanti,” kata Shamsul.

Ahmad Hafiezuddin katanya memang berbakat besar selepas memenangi pingat perak kategori 60 kilogram dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Julai lalu.

Malah, pengakuan bersalahnya tanpa mahu mencabar keputusan ujian sampel A membuktikan dia tidak mengambilnya dengan sengaja untuk berjaya.

“Budaknya lurus dan memberitahu kami semua apa yang dimakannya tanpa berselindung atau cuba menyembunyikan sesuatu. Kami percaya dia mempunyai masa depan yang masih cerah selepas berakhir penggantungan itu nanti,” tambah Shamsul lagi.

Hukuman gantung yang dikenakan ke atas Ahmad Hafiezuddin berkuatkuasa 28 Julai 2016 dan bakal berakhir pada 27 Julai 2018.

“Nasihat saya kepada mana-mana petinju, apa sahaja yang dimakan perlu dimaklumkan kepada jurulatih. Jika tidak akan jadi macam inilah. Amalan ini kami gunakan ke atas petinju-petinju kebangsaan. Setakat ini belum ada lagi petinju kebangsaan yang lekat,” tegas Shamsul.

Kali terakhir petinju Sukma positif doping ialah pada temasya 2010 di Melaka membabitkan atlet Kelantan yang mendakwa memakan ubat demam sebelum pertandingan.

Empat atlet dikesan positif doping pada Sukma 2016 dengan keempat-empatnya mengaku bersalah. Selain Ahmad Hafiezuddin, ia turut membabitkan dua pemanah dari Terengganu dan Kedah serta atlet angkat berat Pahang, Khairul Anuar Mohamad.

Khairul disahkan positif dadah jenis steroid bagi tujuan membina otot dengan cepat manakala dua pemanah yang masih bersekolah itu positif dadah jenis sibutramine bagi tujuan untuk melangsingkan badan. Diuretic yang digunakan Ahmad Hafiezuddin pula kerap digunakan bagi tujuan untuk menurunkan berat badan dengan pantas.