Atlet berusia 33 tahun itu yang pernah memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing berkata, dia telah mengharungi satu perjalanan yang luar biasa, tetapi sejak 10 tahun lalu iaitu pada hari pertamanya bergelar petinju profesional sehingga kini, inilah waktu yang sesuai untuknya menggantung sarung tangannya.

De Gale merupakan petinju profesional Britain pertama yang berjaya memenangi pingat pada Sukan Olimpik dan gelaran dunia.

Dia memenangi tali pinggang dunia IBF di Amerika Syarikat (AS) pada 2015 menentang Andre Dirrell sebelum mempertahankan gelarannya itu sebanyak tiga kali.

“Hari ini genap 10 tahun sejak saya melakukan penampilan sulung sebagai petinju profesional pada 28 Februari 2009 dan hari ini, sudah tiba masanya saya mengumumkan pesaraan daripada sukan tinju.

“Saya telah mengharungi perjalanan yang begitu luar biasa dan mengagumkan, secara jujurnya, sepanjang tempoh itu adalah yang terbaik dalam kehidupan saya,” kata DeGale dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

DeGale, kehilangan gelaran dunianya menerusi penentuan mata kepada petinju AS, Caleb Truax pada Disember 2017, sebelum merampas kembali gelaran tersebut dalam pertarungan semula pada April tahun berikutnya.

DeGale mengakui, pertarungan dengan Eubank telah membuatnya sedar sejauh mana kemerosotannya sebagai petinju profesional.

“Memang sukar untuk mengakui bahawa saya bukanlah lagi pejuang seperti dulu, tetapi saya juga manusia biasa dan sepanjang tempoh itu, kecederaan saya telah menjadi penghalang, baik kekuatan minda mahupun tubuh saya, semua itu menjadi penyumbang kepada persembahan saya dalam gelanggang.

“Saya tewas dalam petarungan, Sabtu lalu di 02 Arena, tetapi saya cukup terharu dengan sambutan daripada peminat di bandar kelahiran saya. Saya bangga untuk berkata, yang saya telah melakar sejarah sebagai petinju Britain pertama bergelar Olimpian dan kemudian beralih kepada karier profesional serta seterusnya merangkul gelaran dunia,” kata DeGale. - AFP