Jurulatih petanque negara, Zani Lisa Mohamed berkata, kecemerlangan pemain beregu campuran negara meraih tempat ketiga di Ghent, Belgium kelmarin menjadi petanda bahawa Malaysia sudah boleh mengatasi pencapaian satu emas pada Sukan SEA 2015.

Pingat gangsa itu juga adalah kejayaan pertama Malaysia pada peringkat dunia.

Tambahnya, keupayaan gandingan beregu campuran negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz menewaskan penyandang juara kejohanan tersebut iaitu Perancis pada aksi suku akhir telah membuka mata dunia bahawa cabaran petanque negara kini tidak boleh dipandang mudah.

“Pada Sukan SEA 2017, daripada tujuh acara yang dipertandingkan, saya meletakkan sandaran ke atas acara perseorangan, beregu campuran, triples dan beregu.

“Kami mungkin boleh meraih lebih daripada satu emas dalam mana-mana empat acara tersebut.

“Pencabar kami iaitu Kemboja dan Thailand juga mempamerkan prestasi tidak begitu jauh berbanding kami ketika di Belgium,” katanya ketika di temui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Pada kejohanan di Belgium, Syed Akmal dan Nur Thahirah bermula dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan 13-8 ke atas gandingan Switzerland, Philippe Basting dan Sylviane Metairon, sebelum menewaskan pasangan Perancis, Philippe Suchaud-Ange­lique Colombet 13-0 pada peringkat suku akhir. Bagaimanapun pasangan negara itu tewas 0-13 kepada pasangan Tunisia, Khaled Lakhal-Nadia Ben Abdessalem pada perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, Syed Akmal Fikri berkata, dia tidak menjangka gandingan kali pertamanya bersama Nur Thahira telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Kata Syed Akmal, dia berharap akan terus diberikan kepercayaan oleh jurulatih untuk memburu pingat emas Sukan SEA 2017 dalam acara beregu campuran.

“Buat masa ini belum ada senarai atlet untuk Sukan SEA dan saya sendiri belum tahu akan bertanding dalam acara beregu campuran atau sebaliknya.

“Jika saya berada dalam senarai Sukan SEA, sudah tentu impian saya mahu menghadiahkan pingat emas dalam acara beregu campuran ini,” kata Syed Akmal.

Pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Malaysia meraih satu emas petanque dalam acara perseorangan lelaki menerusi Muhd. Hafizuddin Mat Daud.