Beliau berkata, daripada enam peserta negara yang berjaya ke separuh akhir Kejuaraan One Silat yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini dapat dilihat beberapa peserta yang berpotensi besar untuk diketengahkan di dalam pertandingan sukan tempur terkemuka dunia itu.

Menurutnya, perjalanan untuk membentuk seorang atlet menyertai kejohanan besar seumpama itu bukan sesuatu yang mudah, namun beliau percaya peserta One Silat mampu memberikan saingan sekiranya diberi bimbingan serta bantuan secukupnya, impian itu boleh direalisasikan.

“Buat peringkat awal ini, kita beri tempoh setahun untuk mereka yang berpotensi ini dibentuk kerana saya lihat ada beberapa pesilat di sini (separuh akhir One Silat) boleh diberikan tumpuan.

“Memang menjadi impian kita untuk melihat suatu hari nanti ada anak Melayu pertama yang bertanding atas nama anak silat bertanding di UFC,” katanya.

Megat memberitahu, cabaran untuk bertanding di pentas kejohanan sukan tempur terkemuka dunia seperti UFC itu bukan mudah kerana peserta bakal didedahkan dengan pelbagai seni mempertahankan diri dari seluruh dunia.

Namun jelasnya, itu bukan alasan untuk pesilat tulen negara merasa rendah diri sebaliknya ia perlu dijadikan perangsang bagi membuktikan seni silat juga boleh bersaing di pentas kejohanan besar seperti itu.

“Memang diakui, mereka ini akan bersaing dengan pelbagai seni tempur daripada para peserta profesional, tetapi tiada sebab untuk mereka berasa rendah diri.

“Kita perlu buktikan kemampuan kita bersaing, bagi saya keputusan yang bakal diraih adalah perkara kedua kerana paling penting kita mahu ada anak Melayu pertama yang membawa seni silat Melayu bersaing di sana,” katanya.