OSMAN NOK

Pengurus besar skuad kebangsaan Datuk Osman Nok berkata, semua pesilat itu akan menjalani program tersebut bagi menilai kembali prestasi dan keupayaan anak-anak buahnya yang telah berehat selama dua bulan selepas Sukan SEA 2017.

“Kami telah menyusun beberapa program hingga Ogos, seperti penyertaan pertandi­ngan, aksi persahabatan selain kem motivasi kepada pesilat.

“Kami sedar tugas dan tanggungjawab kami amat besar pada 2018, yang mana kali ini kami impikan untuk memenangi seberapa banyak pingat emas dalam Sukan Asia.

“Jadi, langkah pertama kami menjelang temasya di Indonesia itu mulai tahun 2018 adalah menjalani prgram latihan di Pulau Pangkor.

“Kami fokuskan kepada latihan lasak dan juga mental sebelum menghadapi medan ujian pra-Sukan Asia di Jakarta pada 8 hingga 18 Februari ini. Kami akan tumpukan kepada latihan lasak di pantai dan bukit, termasuk mental.

“Tujuan utama susunan program sebegini adalah supaya mereka betul-betul bersedia seperti sebelum Sukan SEA tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Skuad silat kebangsaan mencipta kejayaan cemerlang dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur Ogos lalu apabila mengaut 10 emas, dua perak dan empat gangsa, manakala musuh tradisi Indonesia sekadar memungut dua emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Tambah Osman, sekali pun masih belum menetapkan sasaran untuk Sukan Asia, pihaknya bagaimanapun tetap menaruh harapan kepada beberapa jaguh dunia seperti Al Jufferi Jamari, Razak Ghazali dan Siti Rahmah Nasir untuk menuai emas.