Naib Presiden III Pesaka, Zaihan Mohd. Isa berkata, pihaknya kini hanya mahu meningkatkan latihan terhadap pesilat yang terpilih ke temasya yang akan bermula November depan itu dalam usaha menjelmakan pingat emas.

“Memang pesaka ada memikirkan permasalahan tersebut memandangkan pada Sukan SEA 2019 nanti, banyak kelas yang menyumbang emas contohnya kategori Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Nasir tidak dipertan­dingkan. Itu yang kami fikirkan.

“Banyak kelas yang telah digugurkan. Jadi, mana kategori yang dipertandingkan nanti, kami perlu tingkatkan mutu latihan pesilat yang akan ke sana.

“Apapun mana kelas yang dipertandingkan di Manila nanti, kami akan cuba buat yang terbaik untuk kontinjen negara,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Pesaka di Bukit Jalil di sini, hari ini

Temasya dwitahunan di Filipina itu hanya menyenaraikan lima kategori dalam silat olahraga dengan tiga daripadanya adalah Kelas Putra A, C dan D, manakala, kategori Putri hanya mempunyai dua acara iaitu Kelas A dan B.

Dalam aksi silat seni, pasukan tuan rumah sekadar menyenaraikan empat kategori melibatkan Jurus Tunggal Putra, Ganda Putra, Tunggal Putri, Regu Putra.
 Pada edisi ke-29 di Sukan SEA Kuala Lumpur, Malaysia menyenaraikan 20 kategori sukan pencak silat untuk dipertandingkan dan pasukan negara menyapu bersih 10 pingat emas.