Bintang Jepun, Nishikori sudah lama memegang gelaran pemain No. 1 Asia, namun dia bergelut de­ngan kecederaan dalam persiapan menghadapi kejohanan di Roland Garros.

Itu meletakkan kelebihan berpihak kepada jaguh Korea Selatan, Hyeon yang mempamer aksi memberangsangkan di ge­langgang tanah liat.

Hyeon, 21, memulakan aksi dari pu­singan kelayakan sebelum mara ke suku akhir pada Terbuka Barcelona, April lalu.

Pemain muda Korea itu kemudian mara ke separuh akhir Terbuka Munich pada awal Mei dan mengejutkan Gael Monfils.

Berkedudukan No. 67 dunia, Hyeon yang berada di ranking ketiga Asia di belakang Nishikori dan Lu Yen-Hsun dari Taiwan, Hyeon melayakkan diri ke pusingan ketiga kejohanan Grand Slam buat kali pertama selepas menang 6-1, 7-5, 6-1 ke atas pemain Uzbekistan, Denis Istomin.

“Saya rasa agak gemuruh kerana dia (Nishikori) antara pemain terbaik dunia, namun pertemuan ini sangat mengujakan.

“Saya cukup bersedia untuk berdepan dengannya. Dia pemain No. 1 Asia dan berada pada kedudukan 10 terbaik di dunia.

“Pertemuan ini pasti mengujakan peminat tenis Asia, jadi saya percaya semua orang tidak sabar untuk melihat pertembungan di antara saya dan Kei,” kata Hyeon.

Nishikori, 27, yang bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan sebelum tiba di Paris mara selepas mengalahkan pemain tuan rumah, Je­remy Chardy 6-3, 6-0, 7-6 (7/5).– AGENSI