Timbalan Ketua Kontinjen negara, Datuk Dr. SS Cheema berkata, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) perlu memanggil NSA untuk post-mortem selepas temasya Sukan Asia selesai Ahad ini, bagi mereka memberikan justifikasi mengapa menghantar atlet 'yang memang tidak layak' ke sukan serantau.

Beliau berkata, adalah penting untuk menyaring dan menghantar mereka yang benar-benar layak bertanding bagi mengelakkan atlet Malaysia menjadi bahan ejekan pada sukan pelbagai acara yang kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik.

"Dalam post-mortem kami, kami akan membuat cadangan kepada anggota lembaga MOM untuk membincangkannya, terutama apabila anda melihat beberapa atlet daripada sukan Kategori B. Kami diyakinkan oleh NSA-NSA ini bahawa atlet berkenaan mungkin menyumbang atau tidak menyumbang pingat, tetapi mempunyai potensi di masa hadapan.

"Tetapi berpotensi di masa hadapan juga perlu ada standard tertentu, apabila anda sebenarnya tidak setanding dengan yang lain, maka ini tidak betul. Adakah NSA memilih atlet terbaik mereka ke Sukan Asia? Kerana nama negara terlibat dan kita tidak mahu dijadikan bahan ejekan di sini," kata Cheema. - BERNAMA