Apabila seorang anak raja yang berjiwa sukan seperti TMJ bercakap mengenai FAM perlu menguruskan program pembangunan secara sendiri tanpa ada campur tangan organisasi lain, pemimpin persatuan-persatuan sukan lain yang dahulunya membisu seribu bahasa kini turut mula bersuara de­ngan nada serupa.

Bagi Mat apa yang dicakapkan TMJ, walaupun merujuk kepada FAM sahaja, memang benar kerana sepatutnya menjadi tanggungjawab badan induk mana-mana sukan sekali pun untuk mengurus dan menyeliakan apa jua program pembangunan mereka sendiri.

Maka sudah tiba masanya, peranan yang selama ini dilaksanakan oleh kerajaan dikembalikan semula bukan sahaja kepada FAM tetapi juga persatuan-persatuan sukan lain yang kebanyakannya tidak dapat berfungsi sepenuhnya ketika ini.

Bayangkan kerana semua program pembangunan sukan bukan dilakukan pihak persa­tuan sendiri, pemimpin sukan sudah tidak ada kerja dan lebih banyak tidur daripada bertindak proaktif dalam memainkan peranan mereka.

Sampai bila persatuan-persatuan sukan ini perlu dibiarkan beroperasi sedemikian? Ibarat hidup segan, mati tidak mahu. Hanya menjadi seperti kerbau ditindik hidungnya. Ikut sahaja cakap tapi tidak diberi peluang me­laksanakan program pemba­ngunan sendiri.

Dalam waktu sama, Mat juga ingin mengingatkan pe­mimpin persatuan sukan, jika mahu mendapatkan kembali kepercayaan mengendalikan sendiri program pembangunan, jagalah etika, kejujuran dan keikhlasan dalam menguruskannya.

Janganlah kerana wang, pemimpin persatuan mudah gelap mata. Apa perlunya kerajaan suntik peruntukan kalau banyak sangat berlaku ketirisan, salah guna kuasa dan lebih asyik mahu merebut kuasa sahaja.

TMJ berniat baik mahu membangunkan bola sepak negara tetapi bagaimana dengan persatuan-persatuan sukan lain? Apakah mereka bersedia dan memiliki integriti yang sama seperti TMJ?

Jika jawapannya ya, barulah Mat rasa persatuan sukan layak diberikan semula tanggungjawab untuk mengurus program pembangunan sendiri. Jangan nanti bila sudah dapat peruntukan, semua janji yang dibuat hanya tinggal janji. Le­bih teruk kalau mereka bertindak seperti tikus yang cuba membaiki labu, benda yang dah elok jadi porak peranda.

Kita tidak mahu lihat sekarang ini mereka menang sorak tetapi kemudiannya persatuan juga yang tergadai.