Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dalam kenyataan akhbarnya hari ini berkata, tiga individu bakal bersaing untuk jawatan yang akan dipilih dalam Kongres FAM pada Julai nanti iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan Annuar, yang merupakan bekas Timbalan Presiden FAM.

“Selepas tempoh pencalonan yang dibuka pada 2 April lalu berakhir pada pukul 5 petang tadi, FAM hanya menerima tiga nama berkenaan sebagai calon daripada ahli-ahli gabungan yang telah mengembalikan kertas pencalonan masing-masing.

“Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka perlu mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun ini, iaitu sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai 2018,” katanya dalam kenyataan itu.

Perebutan jawatan Presiden FAM hampir berlangsung tiga penjuru untuk penggal 2014-2018, tetapi penyandangnya Sultan Ahmad Shah membuat keputusan menarik diri sebelum perwakilan akhirnya memilih anakandanya Tengku Abdullah yang menewaskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Begitu pun Tengku Abdullah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan pada 2016 dan pemilihan sekali lagi dibuat menyaksikan persaingan dua penjuru sebelum Annuar menarik diri untuk Tunku Ismail menang tanpa bertanding pada Mac 2017.

Tunku Ismail bagaimanapun melepaskan kerusi No. 1 FAM pada 25 Mac lalu.

Dalam pada itu, Yusoff yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) berkata, pemilihan hanya akan dibuat jika calon yang sah bertanding melebihi daripada seorang.

“Jika terdapat lebih daripada seorang calon sah ingin bertanding, maka undian pemilihan Presiden FAM yang baharu perlu dijalankan dalam Kongres FAM Ke-54. Jika hanya seorang calon yang mengesahkan penerimaan pencalonannya, maka secara tidak rasminya beliau menang tanpa bertanding.

“Bagaimanapun, pemilihan calon berkenaan sebagai Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 hanya akan disahkan secara rasmi dalam Kongres FAM Ke-54 itu nanti,” katanya lagi.

Hamidin pada mulanya dijangka mengambil alih puncak kuasa FAM selepas Exco FAM sebelum ini bersetuju dengan cadangan Tunku Ismail. Bagaimanapun, beberapa hari menjelang tarikh tutup pencalonan, beberapa nama mula timbul termasuk Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan kemudian Abdul Azim, sebelum nama Annuar tiba-tiba muncul hari ini.