Penolong Setiausaha MOM itu berkata, ini kerana nama-nama yang dikaitkan akan bertanding untuk jawatan itu iaitu Datuk Seri Azim Zabidi, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin kesemuanya berkaliber dan memiliki kelayakan hebat.

Katanya, jika benar ketiga-tiga calon tersebut akan merebut jawatan Timbalan Presiden MOM dalam pemilihan pada Jun ini, perebutan kerusi No. 2 itu bakal menyajikan pertembungan yang paling menarik dan sengit.

Kok Chi yang telah berkhidmat bersama MOM sejak 1992 berkata, persaingan itu pastinya memaksa calon untuk bekerja keras dan bijak menambat hati persatuan lain menerusi manifesto paling menarik untuk meraih undi terbanyak.

“Ketiga-tiga saya kenal tapi yang saya paling kenal rapat adalah Megat yang merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sebab beliau pegang jawatan dalam silat sudah lama. Saya fikir saya sudah kenal beliau lebih 20 tahun.

“Saya pun kenal dengan bapanya Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju, yang boleh saya sifatkan sebagai ‘family friend’. Sekarang beliau (Megat Zulkarnain) adalah Naib Presiden MOM. Ini terpulang kepada deligasi ke Perhimpunan Agung MOM. Kalau mereka percaya kepada beliau, mereka boleh undi dia.

“Pengerusi Ins­titut Sukan Negara (ISN), Azim pula memegang jawatan yang penting dalam pembangunan sukan di negara ini.

“Hamidin pula, yang meme­gang jawatan Setiausaha Agung Persatu­an Bola Sepak Malaysia (FAM), telah menunjukkan kepakarannya terutama dalam pembangunan sukan tersebut. Kita boleh lihat taraf bola sepak khususnya bawah 23 dan 19 tahun ada peningkatan. Jadi saya ucapkan tahniah kepadanya.

“Jadi ketiga-tiga nama tadi ada kelayakan tinggi. (Sekarang) mereka mesti berkempen dan siapa raih sokongan ramai berupaya menang dalam sistem demokrasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perebutan jawatan Timbalan Presiden MOM untuk penggal 2018/2021 semakin hangat setelah Megat Zulkarnain muncul nama terbaharu dikaitkan untuk bertanding, de­ngan Azim adalah nama pertama yang timbul pada bulan lalu, disusuli Hamidin Sabtu lepas.

Kerusi Timbalan Presiden MOM akan kosong secara automatik berikutan pemegang jawatan itu Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria telah diumumkan oleh Tunku Imran Tuanku Ja’afar sebagai penggantinya untuk jawatan Presiden.

Tunku Imran, yang telah menjadi Presiden MOM selama hampir 20 tahun telah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

Sementara itu Kok Chi memberitahu, tarikh menamakan calon dijangka dibuka pada awal April dan akan ditutup dua minggu selepas itu.

“Buat masa ini kami belum tetapkan tarikh. Penetapan tarikh akan ditentukan menerusi mesyuarat MOM pada 31 Mac ini,” jelasnya.