Hukuman tambahan ini dikenakan Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib dan Antidoping) Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) kerana atlet negara itu melanggar hukuman penggantungan empat tahun akibat gagal ujian doping yang masih berjalan sejak dijatuhkan pada 2015.

Sazali didapati positif mengambil bahan larangan jenis anabolic steroid hasil ujian yang dijalankan pada 1 September 2015 sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan Asia Ke-49, 2015 di Tashkent, Uzbekistan.

“Sazali akan menjalani penggantungan tambahan ini sebaik sahaja tamat tempoh penggantungan asal (doping) pada 22 September 2019. Ini bermakna tempoh (penggantungan seterusnya) akan berakhir pada 22 September 2023,” kata satu siaran akhbar yang dikeluarkan PBBM di sini hari ini.

Semalam, Sazali, 51, menghadap dan memberikan penjelasan kepada jawatankuasa berkenaan di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi di sini berhubung penyertaan di Shanghai itu yang menyaksikannya muncul juara kategori 75 kilogram.

Olahragawan Negara empat kali ini selepas penjelasan itu, bertegas bahawa dia tidak kisah apa juga hukuman yang dikenakan kerana sudah kecewa dan tawar hati dengan cara layanan PBBM malah mendakwa mendapat undangan ke Shanghai secara individu dan tidak melibatkan mana-mana persatuan.

“Kalau persatuan tambah tempoh penggantungan saya sekalipun, saya sudah tidak peduli. Saya akan teruskan aktiviti saya. Saya pun nak hidup, nak sara anak bini dengan karier sebagai ahli bina badan. Saya tahu apa sebab saya boleh pergi (beraksi di Shanghai),” katanya semalam yang ditemani isteri yang juga pengurusnya, Hashrine Hashim.

Siaran media PBBM itu menambah: “Perkara 10.12.1 Kod Antidoping Dunia menyebut, atlet yang menjalani tempoh penggantungan tidak dibenarkan menyertai apa-apa pertandi­ngan, kejohanan dan aktiviti yang dianjurkan oleh Code Sigantory (Penandatangan Kod) atau apa-apa badan yang berkaitannya dan program anjuran di bawah dana kerajaan (selain program kesedaran dan pemulihan antidoping yang disahkan).”