Malaysia turut mengutip dua perak dan empat gangsa pada hari kedua renang berlangsung dengan pingat pertama hadir menerusi Anas Zul Amirul Sidi yang memenangi acara 100 meter gaya bebas lelaki SB14 (masalah pembelajaran) serta turut merakam rekod baharu kejohanan dengan kepantasan 59.79 saat.

Dia meninggalkan perenang Singapura, Benson Tan (1:01.38s) di tempat kedua dan rakan senegara Kevin Ode (1:01.70s) untuk gangsa.

Kejayaan Anas Zul diteruskan oleh Yoong Chung Wei yang beraksi dalam kategori 50m kuak kupu-kupu lelaki S14 (masalah pembelajaran) dengan catatan masa 30.01s, menewaskan Daniel Nugroho(30.18s) dari Indonesia yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala gangsa diraih atlet Thailand, Mongkolchai Chanwit (31.01s).

Jamery Siga pula mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu dengan mengungguli kategori 50m kuak kupu-kupu S5 (kecacatan anggota kaki dan tangan) dengan catatan masa 40.16s. Pingat perak diraih atlet dari Myanmar, Maung Maung Soe (49.11s) manakala seorang lagi wakil negara Muhammad Nur Syaiful (55.91s) meraih gangsa.

Walaupun berjaya mempertahankan kemenangannya namun Jamery masih belum berpuas hati kerana berasakan dia mampu membuat catatan masa yang lebih baik.

“Ini merupakan acara kegemaran saya dan kejayaan mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura adalah baik apabila beraksi di laman sendiri. Tetapi saya kurang berpuas hati dengan catatan masa kerana mampu buat lebih baik,” kata atlet berusia 33 tahun itu.

Sementara itu, kontinjen negara turut mengutip pingat perak menerusi Jamery dalam 200m gaya bebas lelaki S5 dan Julius Jaranding yang bersaing dalam 100m gaya bebas lelaki S12 (masalah penglihatan).

Jamery terpaksa tunduk dengan kehebatan peserta dari Vietnam, Vo Thanh Tung yang melakukan catatan masa 2:59.17s untuk pingat emas manakala pingat gangsa juga dimenangi atlet dari Vietnam, Danh Hoa.

Julius yang suatu ketika hampir melakukan kejutan, terpaksa akur di tempat kedua, ketinggalan 1.70s di belakang atlet Indonesia, Menaser Meriba yang merangkul emas dan gangsa menjadi milik perenang Vietnam, Bui Van Tinh.

Dua lagi perenang negara iaitu James Wong dan Jaison Pengiran sekadar menghadirkan pingat gangsa, masing-masing dalam kategori 100m kuak dada lelaki SB8 dan SB9.