Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan upacara pembukaan temasya tersebut yang disertai 1,421 atlet daripada 11 buah negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah dengan 368 pingat emas menjadi rebutan. Temasya itu akan berlangsung selama tujuh hari, bermula hari ini dengan 16 jenis sukan dipertandingkan.

Mengiringi Najib dalam upacara pembukaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil adalah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Mejar Jeneral Osoth Bhavilai.

Khairi dalam ucapannya berkata, masih segar dalam ingatan beliau tarikh 11 September 2016 yang telah mencatat sejarah gemilang dalam sukan Malaysia.

Jelas beliau, dalam tempoh 24 jam, bukan satu, bukan dua, tetapi tiga pingat emas dimenangi atlet negara di peringkat tertinggi iaitu Sukan Paralimpik.

“Kisah Ridzuan, Ziyad dan Latif sudah menjadi legenda moden negara kita. Bagaimana mereka telah mengatasi segala halangan untuk menjadi juara dunia.

“Bagaimana sukan para, yang kurang dipandang kini menjadi tumpuan orang ramai. Bagaimana atlet para tidak lagi dilihat sekadar atlet kurang upaya atau atlet biasa, tetapi atlet dan insan yang amat luar biasa.

“Malam ini kita meraikan mereka semua. Bukan hanya yang sudah mencipta nama, tetapi juga yang baru mengorak langkah untuk mengukir kejayaan,” katanya.Selain acara wajib mengibarkan Jalur Gemilang dan nyanyian Negaraku, perarakan membawa masuk bendera negara-negara kontinjen dilaksanakan dengan penuh tertib oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sejurus selepas maskot Rimau diperkenalkan oleh pengacara majlis yang diketuai oleh Datuk Aznil Nawawi, Ras Adiba Radzi serta Ida Nerina, perarakan masuk 11 kontinjen bermula, dan Malaysia menjadi kontinjen terakhir yang diperkenalkan kepada orang ramai.

Tiga atlet paralimpik negara yang memenangi pingat emas Paralimpik di Rio tahun lalu, iaitu Mohamad Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly diberi penghormatan menjadi pembawa bendera kontinjen Malaysia.

Selepas perarakan masuk kontinjen, orang ramai yang memenuhi Stadium Nasional turut dihiburkan persembahan istimewa daripada perenang para, Yeo Yi Lin bermain biola yang kemudiannya diiringi pemuzik tradisional orang kurang upaya (OKU), Alena Murang, Stephen Kayang dan Ramlan Koyok.