Walau bagaimanapun, Me­nteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih berpegang kepada pendiriannya untuk merahsiakan sasaran pingat emas dan hanya akan membuat pengumuman mengenainya dalam majlis pe­nyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen, dijadualkan pada Jumaat ini.

“Apa yang saya boleh maklumkan pada Jumaat ini kita akan ada penyerahan bendera dan pada hari tersebut Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut hadir bagi memberi pengiktirafan kepada atlet yang akan menyumbang bakti dalam Sukan Asia.

“Berdasarkan perbinca­ngan tadi kita sudah menetap jumlah pingat yang perlu dicapai oleh atlet negara cuma kita akan maklumkan secara rasmi pada Jumaat ini. Kita juga sudah menetapkan ran­king (kedudukan keseluruhan) yang kita harap boleh dicapai.

“Perbincangan tadi turut menyentuh mengenai isu keselamatan dan lain-lain kerana kami mahu kebajikan dan keselamatan atlet terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) dekat Taman Keramat hari ini.

Sementara itu, ketua kontinjen (CDM) Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sasaran pi­ngat yang ditetapkan itu rea­lisitik atau sebaliknya.