“Syabas pasukan boling wanita harumkan nama #Negaraku dengan meraih emas Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas! #Kebanggaanku,” kata Perdana Menteri melalui Twitter beliau hari ini.

Malaysia yang diketuai pemain berpengalaman, Shalin Zulkifli bersama Siti Safiyah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan mengetepikan musuh ketat, Singapura menerusi jatuhan pin 214-209 dan 188-177 dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Boling South Point.

Ini kali ketiga Malaysia memenangi pingat emas acara berpasukan wanita dalam Kejohanan Dunia selepas kali terakhir melakukannya di Monterrey, Mexico pada 2007. Pasukan negara sebelum itu turut muncul juara 2003 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.

Siti Safiyah turut meraih perak dalam All-Events wanita, manakala gandingan Shalin-Li Jane memenangi perak beregu wanita.

Malaysia juga berpeluang menambah pingat dalam saingan Masters apabila Shalin, Siti Safiyah dan Li Jane melayakkan diri dalam acara wanita, manakala Ahmad Muaz Fishol beraksi dalam saingan lelaki. - UTUSAN ONLINE