Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, majlis tersebut akan bermula pada pukul 8 malam dan disusuli dengan persembahan beberapa artis terkenal tanah air.

Menurutnya, selain itu beberapa aktiviti sampingan akan dilangsungkan sejak pagi antaranya zumba, street soccer, perlumbaan drone, jualan makanan menerusi ‘foodtruck’ dan jualan istimewa oleh al-Ikhsan Sports.

Katanya, semua penyokong dialu-alukan memenuhi pekarangan stadium sebagai tanda sokongan kepada pasukan untuk menghadapi saingan yang lebih mencabar musim depan.

"Pafa mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat sebagai tanda sokongan terhadap pasukan yang akan beraksi dalam play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

"Pafa amat komited untuk membuat persiapan yang terbaik bagi meneruskan momentum kejayaan pasukan The Bos Gaurus," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar mengumumkan berkuat kuasa serta merta, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan Omar dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Pafa yang baharu.
 
Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif Pafa semalam.

Beliau berkata, Pafa yakin pelantikan Tajul Hasnan mampu membantu melancarkan lagi pengurusan persatuan kerana memiliki pengalaman yang cukup luas dalam pengurusan bola sepak.

"Pelantikan ini juga bertujuan membolehkan Setiausaha Kehormat sebelum ini, Abd. Aziz Yeop Jamaluddin untuk memberi tumpuan penuh kepada tugas beliau sebagai Naib Presiden II," katanya. - UTUSAN ONLINE