Lebih manis, acara terjun konsisten menyumbang pingat buat negara di sukan Olimpik selepas kali pertama meraih gangsa menerusi Pandelela di London 2012.

Selain membawa pulang pingat, skuad terjun turut memahat sejarah Olimpik sejak 1956 apabila menghantar kontinjen terbesar yang dibarisi enam penerjun.

Selepas meraih gangsa dalam 10 meter platform individu di London 2012, Pandelela, 23, gagal mengulangi pencapaian tersebut.

Namun, dia menebus kehampaan dengan meraih perak dalam 10m platform seirama wanita bersama Jun Hoong.

Jika mahu dibandingkan standard penerjun negara dengan pencabar mereka di Asia Tenggara, ia ibarat ‘langit dan bumi’.

Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan terjun mampu menjadi lubuk emas Malaysia apabila menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Bagaimanapun Ketua Jurulatih terjun Malaysia, Yang Zhuliang pernah menegaskan banyak kelemahan yang perlu diatasi jika mahu menyaksikan penerjun negara meraih emas pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, terma­suk meningkatkan kemudahan latihan sedia ada serta menambahkan bilangan penerjun pada usia muda.

Bagaimanapun, berbanding dengan terjun yang melakar pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa, renang negara pula agak sepi daripada pencapaian besar.

Malaysia dilihat masih gagal dalam melahirkan perenang bertaraf dunia berbanding sukan terjun.

Malah perenang negara juga jauh ketinggalan dibandingkan negara jiran, Singapura yang buat kali pertama dalam sejarah berjaya memenangi pingat emas Sukan Olimpik menerusi perenang sensasinya, Joseph Schoo­ling.

Kejayaan Schooling, 21, mengalahkan legenda renang Amerika Syarikat, Michael Phelps dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu lelaki bukan sahaja mencuri tumpuan dunia, malah memberi tamparan buat Malaysia.

Kalau dikatakan kita kekurangan bakat, mengapa negara sekecil Si­ngapura mampu melahirkan perenang bertaraf dunia?

Di mana silapnya pembangunan sukan renang negara? Siapa harus dipersalahkan? Semua jawapan hanya mampu dijawab pihak yang bertanggungjawab membangunkan sukan tersebut.

Namun tahun 2016 juga bukanlah musim suram buat skuad renang negara kerana kemunculan Welson Sim, Wong Fu Kang dan Phee Jinq En yang boleh gilap menjadi permata Malaysia pada masa akan datang.

Tahun ini turut menyaksikan 10 rekod kebangsaan berjaya diperbaharui perenang negara dan cabaran utama mereka tahun depannya pastinya kepada usaha memburu emas Sukan SEA.