SSN Perak A terpaksa beraksi dalam set penentuan sebelum melakar kemenangan 15-12, 9-15, 5-15 ke atas MSN Perlis A dan Suhairi yang merupakan bekas pemain pelapis kebangsaan pada 1995 berkata dia berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

“Kami sudah menyertai kejohanan ini sejak edisi pertama lagi dan kami sentiasa mara ke peringkat suku akhir dan pencapaian terbaik kami adalah layak ke separuh akhir pada lima tahun lalu.

“Saya harap tahun ini kami dapat mara ke kelompok empat pasukan terakhir walaupun menyedari tentangan yang bakal diterima amat sengit.

“Berdasarkan persembahan pemain saya, mereka sudah boleh menyerap tekanan dalam aksi penting dan saya fikir mereka boleh menggunakannya dalam perlawanan yang lebih penting,” katanya selepas perlawanan.

Tambah Suhairi, walaupun berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya namun dia enggan berasa terlalu yakin sebaliknya cuba kekal fokus satu perlawanan demi satu.

Tujuh lagi pasukan yang berjaya melayakkan diri ke lapan kelompok pasukan terakhir adalah DFZ MSS Pulau Pinang B, DFZ MSS Pulau Pinang D, SSMT A, Rejaman Kikir B, PLD Tanah Merah B, DFZ MSS Pulau Pinang H dan KBE.