Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai pembaca ikrar, faktor ketinggian pasti memberikan kelebihan kepada atlet kelahiran Johor itu untuk meraih perhatian ramai.

Kata Khairy, selain ketinggian, Nauraj yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30 meter juga boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik memandangkan ikrar itu ditulis dalam bahasa tersebut.

“Faktor ketiga (mengapa Nauraj dipilih) pula ialah saya lihat beliau seorang atlet yang sangat menyerlah.

“Daripada atlet ‘Kita Juara’ (program sukan kendalian Majlis Sukan Negara), beliau berjaya melayakkan diri ke Program Podium dan kini, baru balik daripada menyertai kejohanan dunia.

“Beliau adalah contoh bagaimana seorang atlet yang bermula dari bawah boleh menjadi seorang atlet bertaraf dunia,” kata Khairy kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut mengenai larian obor yang bermula di Johor sejak pertengahan Mei lalu, Khairy nyata berpuas hati dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada orang ramai.

“Sorakan padu yang kita terima di sepanjang laluan secara tidak langsung menunjukkan bahawa bahang KL2017 (Sukan SEA) semakin hangat dan semakin dirasai,” katanya.