Presidennya, Muhd. Iqbal Sulaiman berkata, selepas beberapa kejayaan dicatatkan atlet tenis kerusi roda terutama pada Sukan Para ASEAN 2017 lalu, persatuan itu kini memasuki fasa yang lebih progresif dan memerlukan perubahan.

Kata beliau, perubahan itu termasuk keputusan sukar untuk menggantikan penaung baharu yang memerlukannya terlibat secara aktif dalam aktiviti kutipan dana selain menyumbang kepada visi jangka panjang persatuan.

“Dr. Siti Hasmah telah bersama dengan persatuan selama 20 tahun dan kami sangat berbangga dengan sokongan berterusan diberikannya serta mengucapkan yang terbaik untuk beliau.

“Kini merupakan masa untuk persatuan bergerak ke hadapan dan meletakkan sasaran kepada pencapaian yang lebih membanggakan termasuklah layak secara merit ke Paralimpik Tokyo 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penjelasan itu dipercayai sebagai membalas sindiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan keputusan menggugurkan isteri beliau sebagai penaung persatuan berkenaan.

Menurut Muhd. Iqbal, perubahan-perubahan telah pun bermula dengan kalendar persaingan lebih baik di beberapa lokasi baharu di seluruh negara.

Katanya, perubahan itu termasuk empat pertandingan baharu yang telah dipersetujui oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dan penambahbaikan kepada Jelajah Tenis Kerusi Roda ITF Terbuka Malaysia 2018 untuk menarik penyertaan peserta antarabangsa.