Apapun setiap keputusan boleh membawa maksud kepada kemenangan samada dari segi moral dan maruah.

Ibarat marahkan seekor ­nyamuk, mereka sanggup membakar kelambu. Itu antara senario yang berlaku dalam tempoh seminggu dua ini apabila Malaysia selaku hos Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di ­Kuching, Sarawak 29 hingga 4 Ogos depan dilucutkan hak sebagai penganjur oleh Jawatankuasa Para­limpik Antarabangsa.

Perlucutan hak penganjuran itu sepatutnya dianggap sebagai kemenangan buat rakyat Malaysia dan warga Palestin khususnya kerana ia menunjukkan ketegasan kita yang tidak berkompromi soal kemanusiaan dan menegakkan keadilan.

Ceritanya bermula daripada soal larangan Malaysia terhadap kemasukan atlet dari Israel untuk menyertai kejohanan di Kuching itu sehingga ia mencetuskan tekanan antarabangsa khususnya badan pentadbir sukan itu yang bertegas mahukan atlet berkenaan dibenarkan bertanding.

Kita sedia maklum bahawa Malaysia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dan jika mereka dibenarkan bertan­ding ia bermakna kita terpaksa tunduk dan membelakangkan dasar negara yang menolak keganasan serta menjunjung keadilan apa lagi situasi yang semakin buruk di Baitulmuqaddis ketika ini gara-gara sipelakunya, Israel.

Apalah sangat kejohanan itu berbanding maruah dan ke­tegasan kita. Kepada Majlis ­Paralimpik Malaysia (MPM) jadikan hal seumpama ini sebagai satu panduan berguna.

Begitu juga dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang lain. Kejadian seperti ini juga harus direkodkan.

Hormatilah dasar-dasar kerajaan. Kita mungkin tidak lupa dengan insiden pemulauan Malaysia dalam Sukan Olimpik di Moscow pada 1980. Ketika itu pasukan bola sepak negara berjaya melayakkan diri untuk menyertai temasya empat tahun sekali itu buat kali kedua selepas Sukan Olimpik di Munich 1972.

Kejayaan itu begitu besar ertinya terutama dalam kala­ngan peminat sukan bola sepak negara. Nama-nama besar se­perti R. Arumugam, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Bakri Ibni, Ramli Junit, Zulkifli Hamzah, Abdullah Ali, Hassan Sani, James Wong dan beberapa nama lain yang sentiasa meniti dibibir peminat.

Malangnya, kerajaan Malaysia dengan ‘berat hati’ mengambil keputusan membatalkan penyertaan bukan sahaja pasukan bola sepak bahkan seluruh kontinjen negara ke Moscow disebabkan membantah pencerobohan ­Soviet ke atas Afghanistan.

Dalam sukan, kita perlu tahu membezakan antara soal maruah dan kejayaan. Kita sama sekali menolak hal berkaitan keganasan, pencerobohan atau pencabulan hak sesebuah negara.