Ratu luncur ais itu memberitahu, dia agak terkejut dan tidak menyangka ribuan penyokong akan hadir menyaksikannya walhal sukan tersebut pertama kali dianjurkan dalam sejarah temasya dwi tahunan berkenaan.

“Saya rasa macam tidak percaya sebab pertama kali sukan ini dianjurkan, tetapi ramai yang datang memberikan sokongan sehingga saya memperoleh semangat dalam usaha memenangi ketiga-tiga pingat emas Sukan SEA.

“Terima kasih kepada mereka, sebab mereka antara faktor penyumbang utama dalam menyuntik tenaga kami untuk beraksi di dalam gelanggang.

“Sukan SEA 2017 sangat istimewa bagi saya.Memang misi saya menyertai temasya ini adalah untuk membolot semua emas yang saya sertai dan paling utama, mengharumkan nama negara. Inilah saat-saat yang paling saya nanti-nantikan,” katanya kepada pemberita.

Atlet berasal dari Kuala Lumpur itu menyapu bersih tiga emas dalam semua acara yang disertainya menerusi pecut 500 meter (m), 1,000m dan 3,000m berganti-ganti bersama Ashley Chin, Nor Marissa Alia Ahmad Lokman serta See Wan Ni.

Mengulas langkah seterusnya selepas tamat temasya edisi ke-29 itu, Anja Chong yang juga pelajar Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Nottingham memberitahu, dia sedang mengintai peluang untuk ke Sukan Olimpik musim sejuk di Korea Selatan tahun depan.

“Sukan SEA merupakan medan terbaik saya untuk meraih pengalaman dan motivasi menjelang kelayakan Olimpik (musim sejuk) pada bulan depan. Saya harap saya dapat buat yang terbaik kerana ia merupakan destinasi iadaman saya dalam karier saya sebagai atlet,” katanya.