Emas pertama Malaysia hadir menerusi Wendy Ng Yan Yee dalam acara tiga meter papan anjal individu wanita selepas mencatat mata keseluruhan 342.90 mengetepikan rakan senegara, Nur Dhabitah Sabri di kedudukan kedua (311.25) manakala Ashlee Tan Yi Xuan dari Singapura (233.60).

Wendy mengakui kejayaan tersebut begitu bermakna apabila sekadar meraih perak dua tahun lepas dan beberapa Sukan SEA yang disertainya sebelum ini.

“Pasti gembira sangat kerana dua tahun lepas perak dan beberapa Sukan SEA sebelum ini juga di tempat kedua dan di laman sendiri saya akhirnya meraih emas selepas mengalami beberapa kecederaan.

“Setiap kali ketika dan selepas latihan saya perlu makan ubat tahan sakit serta letakkan ais di tempat yang sakit tetapi dengan semangat membara saya tekad untuk lupakan kesakitan dengan merangkul emas,” katanya sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong.

Bagi Nur Dhabitah pula, dia juga terpaksa terjun dalam kesakitan dan hampir pitam semasa sesi latihan sebelum acaranya bermula pada tengah hari namun tetap berpuas hati dengan perak.

Sementara itu, Ooi Tze Liang mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu sekali gus menambah emas kedua negara menerusi 3m papan anjal individu lelaki, dengan markah tertinggi 458 mata mengatasi rakan senegara, Ahmad Amsyar Azman, perak (432.25) dan gangsa milik penerjun Singapura, Timothy Kuan (386.35).

Dalam pada itu, Pandelela Rinong dan Gabriel Gilbert melengkapkan hari cemerlang skuad negara dengan menyumbang emas ketiga setelah meraih 345.40 mata dalam acara berpasukan yang julung kali dianjurkan di Sukan SEA mengatasi pencabar terdekatnya dari Singapura, Freida Lim Shen dan Jonathan Chan di kedudukan perak (335.55) manakala gangsa milik Surincha Booranapol-Theerapat Siriboon (243.90).

Esok, dua lagi emas bakal ditawarkan dalam acara terjun dengan menyaksikan juara dunia, Cheong Jun Hoong bakal turun bagi acara 1m papan anjal individu wanita dan Tze Liang pula dalam kategori lelaki untuk acara yang sama.