Dalam acara 10 meter air rifle wanita, penembak muda Nur Izazi Rosli terlepas kelayakan ke final apabila meraih tempat ke-10 dengan membidik 622.3 mata di Lapangan Menembak Jakabaring, hari ini.

Dengan hanya lapan penembak teratas boleh mara ke final, penembak berusia 18 tahun itu yang membuat penampilan pertama dalam Sukan Asia hanya ketinggalan 1.7 mata di belakang Lin Yingshin dari Taiwan (624 mata) yang meraih tempat kelayakan terakhir.

Pelajar pra-universiti Sekolah Sukan Bukit Jalil itu, bermula agak perlahan pada pusingan pertama apabila membidik 102.3 mata, sebelum bangkit memperbaiki catatan dengan 104.0, 103.2, 103.9, 104.8 dan 104.1 mata pada pusingan seterusnya.

“Saya agak berpuas hati dengan keputusan (mata ini) walaupun kecewa terlepas aksi final dengan mata yang begitu tipis. Saya ambil dengan positif...Saya masih muda lagi, akan memperbaiki keputusan ini pada kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, dalam 10m air rifle lelaki, Mohamad Lutfi Othman turut gagal melepasi pusingan kelayakan selepas sekadar menamatkan saingan di tempat ke-28 dengan 614.3 mata.

Turut mengalami nasib sama, penembak veteran, Chen Seong Fook yang meraih tempat ke-26 dengan 110 mata dalam acara trap lelaki.

Semalam, gandingan Johnathan Wong Guanjie-Joseline Cheah Lee Yean dan Mohamad Lufti-Nur Izazi masing-masing gagal layak ke final acara 10m air pistol dan 10m air rifle campuran apabila meraih tempat ke-10 pada pusingan kelayakan.

Bagaimanapun, jurulatih kebangsaan, Mohd. Sabki Mohd. Din yakin skuad negara akan mempamerkan aksi yang lebih baik selepas ini, terutamanya Johnathan dan Joseline yang masing-masing akan beraksi dalam acara 10m air pistol lelaki dan wanita.

“Setakad ini, apa yang saya nampak ialah, atlet kita masih ketinggalan dari segi psikologi. Macam Nur Izazi, permulaannya agak perlahan tetapi masih berada di tempat ke-10* Saya pasti dia dah buat yang terbaik, walaupun ini penyertaan pertama beliau pada Sukan Asia.

“Masih ada 10m air pistol dan 3 posisi, insya-Allah berdoa agar mereka fokus, lupakan apa yang lalu dan teruskan momentum untuk memperbaiki kesilapan mereka,” katanya.

Cabaran skuad menembak di Palembang akan diteruskan oleh Mohamad Lufti dalam acara 50m rifle 3 posisi lelaki dan Johnathan Wong dalam acara 10m air pistol lelaki pada esok. - BERNAMA