Katanya, pencalonan oleh Presiden Persatuan Pemanah Kedah (PPK), Datuk Hamid Hassan itu dianggap bertentangan de­ngan arahan Jemaah Menteri yang melarang mana-mana anggotanya menyandang sebarang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan.

“Pencalonannya juga dijangka satu usaha untuk membolehkan Datuk Hamid dilantik sebagai Setia­usaha Kehormat NAAM sekiranya Datuk Seri Johari memenangi pertandingan tiga penjuru bagi jawatan No. 1 itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dua lagi calon Presiden NAAM ialah penyandang, Mohd. Yazid Yahaya dari Selangor dan Baharuddin Jamil dari Perak yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Asia Tenggara (SEAAF) dan bekas Setiausaha Kehormat NAAM.

Pemilihan mesyuarat agung tahunan ke-41 bagi penggal 2017-2020 akan berlangsung di Dewan Datuk Mokhtar Dahari, Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur.

Yazid memenangi pemilihan penggal 2014-2017 dengan kelebihan tipis ke atas penyandang ketika itu Allahyarham Tan Sri Halil Mutalib tiga tahun lalu.

Kata Hassim, Timbalan Presiden NAAM, Chong Yap Jin pula tidak akan mempertahankan jawatan sebaliknya Setiasaha Persatuan Memanah Sarawak itu akan bertanding bagi kerusi Exco NAAM.

“Jawatan No. 2 itu akan ditandingi oleh Presiden Persatuan Memanah Me­laka, Zainal Abidin Ahmad yang kini Naib Presiden NAAM dan Presiden Kelab Memanah Perlis, Ahmad Zaini Shamsuddin,” katanya.

Hassim turut akan mem­pertahankan jawatan Naib Presiden NAAM yang menawarkan dua kerusi dan akan dicabar oleh Zamzaini Zolkefli (Terengganu), Shamsuddin Ibrahim (Kelantan) dan Johari Abu Bakar (Wira).

Terdapat 19 ahli gabu­ngan NAAM dengan ma­sing-masing berhak menghantar tiga perwakilan untuk mengundi dalam pemilihan pucuk pimpinan itu.