Pemain berusia 36 tahun itu membuat kejutan apabila menarik diri daripada meneruskan cabaran dalam Terbuka Perancis beberapa minit sebelum dia bertemu dengan seteru utama, Maria Sharapova di pusingan kedua di gelanggang Philippe Chatrier.

William mengalami kecederaan otot di bahagian dada, memberi kesan kepadanya untuk membuat pukulan servis.

“Saya akan melakukan ujian MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) esok (hari ini). Saya akan tinggal di sini dan berjumpa dengan beberapa orang doktor serta pakar seramai yang boleh.

“Saya tidak tahu (beraksi dalam Wimbledon atau tidak) hingga saya memperoleh keputusan,” kata juara grand slam 23 kali itu.

Williams membuat penampilan pertamanya dalam grand slam selepas melahirkan anak sulungnya, Olympia pada September lalu. Kali terakhir dia beraksi dalam grand slam sewaktu menjuarai Terbuka Perancis 2017 di mana dia hamil dua bulan ketika itu.

“Saya melakukan banyak pengorbanan dan sudah tentu perkara ini amat mengecewakan saya. Bagaimanapun, saya sudah berjanji kepada diri sendiri, jurulatih dan pasukan bahawa jika saya tidak mencapai sekurang-kurangnya cergas 60 peratus atau 50 peratus, saya tidak akan beraksi (Wimbledon).

“Hakikatnya saya tidak boleh melakukan pukulan servis dengan baik dan mungkin sebab itu saya patut menarik diri dan kekal positif malah berusaha untuk ke arah lebih baik sebelum kecederaan ini bertambah buruk,” katanya. - AFP