Bagaimanapun bagi Sharapova, 30, kekalahan 7-5, 4-6, 2-6 kepada pemain dari Latvia itu di Stadium Arthur Ashe tidak begitu mengejutkan, malah dia menyifatkan kepulangan semula ke kejohanan Grand Slam sejak penggantungan 15 bulan akibat doping sebagai ‘memuaskan’.

“Saya tidak beraksi dalam banyak perlawanan sebelum tiba di sini (New York), malah tidak banyak berlatih.

“Sudah tentu, kekalahan adalah perkara yang sangat mengecewakan, namun melihat perjalanan yang telah saya harungi sepanjang minggu ini, ia membuatkan saya gembira.

“Ini satu permulaan yang baik. Akhirnya, saya mampu mendapatkan begitu banyak manfaat daripada saingan minggu ini,” kata Sharapova sejurus tamat permainan.

Bintang Rusia itu hadir di New York bersama kontroversi apabila ramai rakan-rakan pemain mempertikaikan pemberian wild card (jemputan) kepadanya, selain layanan bertaraf ‘bintang’ yang diberikan oleh penganjur.

Begitupun bagi peminat, Sharapova ibarat ‘ratu yang pulang daripada buangan’. Dia mendapat sorakan padu setiap kali menjejakkan kaki ke dalam gelanggang, malah tempat duduk penonton sentiasa penuh setiap kali bekas pemain No. 1 dunia itu beraksi.

Bagi Sevastova, 27, kemenangan ke atas Sharapova bakal menemukannya dengan wakil tuan rumah, Sloane Stephens yang mengalahkan pemain Jerman, Julia Goerges 6-3, 3-6, 6-1.

“Saya membenarkan perlawanan berlangsung sengit dan itu menguji Maria,” ujar Sevastova, yang memaksa Sharapova, juara Terbuka AS 2006, melakukan 51 kesilapan sendiri.

Sementara itu, satu lagi suku akhir bakal menemukan pilihan ke-13 yang juga juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova dari Republik Czech dengan pilihan kesembilan, Venus Williams dari AS yang memburu gelaran Grand Slam kelapan dan kejuaraan ketiga Terbuka AS – AGENSI

Kvitova menyingkirkan pilihan ketiga dan pemenang Grand Slam dua kali, Garbine Muguruza 7-6 (7/3), 6-3, manakala Williams menundukkan pemain No. 35 dunia, Carla Suarez Navarro 6-3, 3-6, 6-1.

Bagi Sharapova pula, Terbuka AS merupakan Grand Slam pertamanya sejak diuji positif dadah jenis meldonium pada Terbuka Australia 2016 dan dia mengalahkan pemain No. 2 dunia, Simona Halep pada pusingan pertama yang sekali gus memberi amaran kepada pencabar-pencabarnya bahawa dia masih lagi lawan yang hebat.

“Dia beraksi dengan cukup cemerlang sepanjang set pertama dan set kedua. Saya cuma terus berjuang, berlari untuk setiap bola. Saya berasa yakin dan dapat berasakan perasaan itu. Tetapi anda masih perlu menewaskannya. Dia telah mempamerkan antara persembahan terbaik di sini,” kata Sevastova.

Sharapova dijangka melonjak daripada kedudukan ke-146 hingga ke sekitar ke-100 dalam ranking dunia. – AGENSI