Kehadiran Ultras ini yang sentiasa berdiri di belakang pasukan masing-masing tanpa mengenal penat melalui sorakan serta nyanyian sememangnya menjadi fenomena dalam Liga Malaysia.

Namun begitu, ada kalanya keseronokan tanpa batasan itu boleh mencetus pelbagai permasalahan lain sehingga tanpa disedari, mereka kerap melanggar undang-undang larangan pembakaran suar dan yang terbaharu, penggunaan bom asap di dalam stadium.

Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri terpaksa menanggung akibat dengan membayar denda berjumlah ribuan ringgit atas kesalahan gagal mengawal ke­selamatan di stadium, namun keadaan tidak sedikit pun berjaya meraih simpati penyokong.

Adakah boleh disimpulkan, semakin kerap FA negeri ma­sing-masing didenda, semakin menjadi-jadi sikap mereka seolah-olah mahu mencabar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Aksi Liga Super antara ATM dan Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu menjadi bukti terbaharu kedegilan penyokong ini.

Sebelum itu, pada 7 Mac lalu, dalam isu berlainan iaitu pembakaran suar, penyokong Selangor ketika meraikan kemenangan 4-1 ke atas PDRM di Stadium Shah Alam turut mencetus kekecohan.

Pada 14 Februari, kumpulan penyokong Pahang yang dikenali sebagai Elephant Army turut melakukan tindakan serupa sejurus perlawanan dengan Selangor berakhir 1-1.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata, penyokong ini sebenarnya mahu menunjukkan kegembiraan tetapi me­lakukannya de­ngan cara yang salah apabila melanggar undang-undang.

Beliau mengakui, bukan tugas mudah menghalang kemasukan suar sepenuhnya ke dalam stadium kerana kekangan bila­ngan anggota keselamatan.

Malah, kebanyakan FA Negeri belum bersedia menggunakan khidmat marshal seperti yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

“Mereka mungkin berasa seronok selepas pasukan mereka menang dan memilih cara sedemikian untuk meraikannya, bagi saya matlamat tidak menghalalkan cara dan mereka kena hormat undang-undang.

“Buat masa ini masih menjadi satu halangan kepada pihak keselamatan kerana bilangan anggota yang ditempatkan tidak mencukupi untuk memeriksa 100 peratus penonton yang masuk ke dalam stadium .

“Kami tidak mahu berlaku pembaziran tenaga memandangkan mereka ada tugas hakiki lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menyentuh soal marshal, banyak faktor perlu diperhalusi sebelum semua pasukan Liga Malaysia mempunyai kemampuan menggunakan khidmat tersebut terutama dalam soal kesediaan menanggung kos tambahan.

“Mungkin khidmat marshal sebagai jawapan terbaik dan kita memang akan ke arah itu cuma yang menjadi halangannya ialah kebanyakan pasukan di Malaysia tidak memiliki stadium sendiri dan banyak masalah akan timbul terutama dalam soal pembayaran elaun.

“Saya ambil PDRM sebagai contoh yang menggunakan Stadium Shah Alam dan sekiranya khidmat marshal digunakan, siapa yang akan bayar elaun mereka kerana gelanggang berkenaan mempunyai konsesi dengan Selangor.

“Kemudian, marshal-marshal ini perlu dibayar elaun dan penyerapan kos pasti berlaku yang terpaksa ditanggung penyokong.

“Macam PDRM, kami mengenakan tiket RM20 seorang dan jika hendak menggunakan marshal, harga tiket pasti terpaksa dinaikkan ke RM25 atau RM30,” katanya.