Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, badan sukan tersebut akan menubuhkan Jawatankuasa Penilai Bebas yang dipengerusikan bekas jaguh pecut negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan dalam usaha memperkasakan sistem pemilihan atlet ke temasya sukan akan datang.

Katanya, jawatankuasa itu bakal dianggotai oleh bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad dan Pengarah Unit Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz.

“Selepas tamat Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, kita dapat banyak komen dan maklum balas terutama dalam proses pemilihan atlet yang menyertai temasya tersebut.

“Atas sebab itu, pihak lembaga eksekutif membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Penilai Bebas yang akan dipengerusikan Jegathesan selain turut dianggotai individu yang telah berkecimpung lama dalam sukan antaranya Mazlan dan Ramlan serta mungkin satu dua lagi akan dilantik.

“Mereka akan melihat dari segi SOP (prosedur operasi standard) bagi proses pemilihan atlet untuk temasya seperti Sukan Asia dan Olimpik yang mana kita harus memperkasa dan memperketat proses tersebut,” katanya selepas mengadakan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norza berkata, MOM akan mengeluarkan surat bagi menyatakan sokongan terhadap Persatuan Hoki Asia (AHF) yang membuat permohonan untuk skuad hoki negara layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo secara automatik.

Mengikut peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), hanya lima juara benua akan layak ke Sukan Olimpik secara automatik, yang mana bagi Asia, pemenang pingat emas Sukan Asia akan mendapat slot itu.

Skuad Malaysian Tigress gagal meraih kelayakan automatik itu apabila tewas 1-3 menerusi penentuan penalti kepada Jepun dalam final di Jakarta, selepas kedua-dua pasukan terikat 6-6. - UTUSAN ONLINE