Mat Sport
 

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar awal-awal lagi menamakan timbalannya, Datuk Seri Norza Zakaria sebagai pengganti. Tunku Imran menepati janjinya sewaktu berucap pada perhimpunan 15 Ogos 2015 lalu untuk tidak menerima pencalonan lagi. Dia mahu berehat.

Nama Norza menguasai publisiti untuk menduduki jawatan tertinggi itu. Memanglah bekas Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) itu dijanjikan jawatan berkenaan sejak diundang bersaing dalam pemilihan MOM dua tahun lepas.

Norza diajak bertanding oleh Tunku Imran sebagai timbalan presiden sebagai ganti kepada pemegang jawatan ketika itu, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim; seorang pesara kerajaan yang berusia 70 tahun. Norza berumur 49 tahun pada 2015.

Buat masa ini, Norza dikatakan sudah berkempen dengan persatuan sukan kebangsaan walaupun persaingan sebenar hanya Jun 2018. Kekosongan kerusi timbalan difahamkan akan ditandingi oleh naib presiden sekarang, Datuk Nazifuddin Najib; anak Perdana Menteri.

Apa pun Tunku Imran amat berlapik sewaktu menyokong Norza dalam sidang akhbar baru-baru ini. Dia berkata, keputusan terakhir akan ditentukan sewaktu perhimpunan agung menerusi perwakilan.

Lazimnya, ramai akan bertanding dalam pemilihan ahli lembaga eksekutif MOM. Yang paling ramai bersaing ialah jawatan naib presiden. Kemudian setiausaha, bendahari, dua penolong setiausaha dan seorang penolong bendahari. Dengar khabar ada kemungkinan wujud tiga kumpulan dalam pemilihan Jun ini.

Bagi Mat, jawatan presiden dan timbalan belum tentu dimenangi tanpa bertanding. Difahamkan, seorang Tan Sri dan seorang Datuk Seri juga berminat dan bagi jawatan timbalan, mungkin menjadi empat penjuru.

Jawatan setiausaha yang disandang Datuk Low Beng Choo juga menjadi tumpuan.dan akan ditandingi. Seorang pegawai utama persatuan sukan kebangsaan sedang dipujuk untuk mencabar Beng Choo. Ada juga individu yang kini berada dalam lembaga eksekutif MOM turut berminat.

Pemimpin veteran yang disegani, Datuk Sieh Kok Chi yang memberi laluan kepada Beng Choo tidak berminat untuk mengambil jawatan lamanya itu. Sebagai penolong setiausaha, Kok Chi dikatakan enggan menyambung khidmatnya lagi. Betulkah? Atau akan bersaing untuk jawatan lain?

Nampaknya pemilihan musim akan datang pastinya lebih mencabar. Ini hanyalah khabar permulaan.