Nicol yang kini jatuh ke ranking No. 11 dunia dipaksa berhempas pulas selama hampir sejam sebelum mengetepikan cabaran wakil Australia, Donna Lobban menerusi kemenangan lima set 11-4, 15-13, 6-11, 11-13, 11-8.

Kejayaan tersebut menemukan kembali anak kelahiran Pulau Pinang berusia 35 tahun itu dengan seteru lamanya, Massaro di pusingan ketiga.

Massaro yang kini berada di ranking keenam dunia, turut dipaksa bekerja keras sebelum berpeluang menewaskan rakan senegaranya, Millie Tomlinson 11-6, 0-11, 12-10, 13-11 dalam tempoh 52 minit.

Pertembungan antara Nicol dan Massaro dijangka berlangsung menarik, dengan kedua-dua pemain berkenaan berkongsi lima gelaran pada Terbuka AS.

Nicol yang mengalahkan Massaro pada pusingan kedua Terbuka China, September lepas, bagaimanapun tewas kepada rakan sebayanya itu di suku akhir Terbuka NetSuite, minggu lalu dan bekas juara dunia lapan kali tersebut berpeluang membalas dendam ke atas lawannya itu pada Rabu ini (waktu Malaysia).

“Saya dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan 3-2 ke atas Donna Lobban yang kini berada pada prestasi terbaiknya dalam perlawanan pertama saya pada Terbuka AS. Rehat sehari, sebelum bertemu Laura Massaro untuk perlawanan berikut, esok (Rabu waktu Malaysia),” kata Nicol yang dipetik kenyataannya menerusi akaun media sosial, Twitter, hari ini.

Perlawanan antara Nicol dan Massaro juga bakal menyaksikan kedua-dua mereka bertemu buat kali ke-34 dalam Jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional). - UTUSAN ONLINE