Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Timbalan Presiden FAM itu hari ini mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan Presiden pada Kongres FAM ke-53 selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk menjaga keharmonian dalam komuniti bola sepak tanah air.

Kata Annuar, beliau percaya, Tunku Ismail perlu diberi peluang melakukan sesuatu buat bola sepak Malaysia dan mengotakan janjinya selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu semalam mengumumkan manifesto 11 perkara yang akan dilakukan jika menjadi Presiden FAM.

“TMJ perlu diberi peluang seluas-luasnya melakukan sesuatu untuk bola sepak Malaysia dan mengotakan segala janjinya.

“Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan TMJ boleh menjadi aset penting kepada FAM. Sokongan dan perkenan Tuanku Sultan Johor juga adalah satu penghormatan kepada bola sepak Malaysia.

“Bagi saya pula, pada 16 November lalu saya pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada TMJ mencadangkan baginda memegang sendiri jawatan Presiden. Waktu itu saya ada berjanji untuk mengikhtiarkan agar baginda menang tanpa bertanding dan hari ini saya tunaikan janji itu. Saya berdoa perubahan yang sekian lama dinanti dan dijanjikan akhirnya menjadi realiti,” katanya dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen hari ini.

Annuar mengakui, sebelum ini terlalu banyak retorik dan janji telah dibuat sepanjang beliau menjadi Timbalan Presiden badan induk itu, namun tiada perubahan yang boleh dilihat.

Beliau pada masa sama memberitahu wartawan bahawa satu SMS telah dihantar kepada Tunku Ismail mengenai keputusannya beberapa minit sebelum sidang akhbar bermula.

Sementara itu, Annuar juga berkata, beliau gembira kerana suasana menjelang pemilihan berjalan dengan harmoni, biarpun terdapat beberapa insiden berbaur fitnah seperti kononnya beliau menerima bantuan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk memenangi pertandingan.

“Muktakhir ini kedengaran tuduhan saya akan menang kerana Khairy Jamaluddin mengarahkan perwakilan untuk memilih saya.Perkara ini bukan saja tidak benar, tetapi juga boleh menjejaskan hubungan FAM-KBS (Kementerian Belia dan Sukan) di masa depan.

“Mengambil kira semua senario tersebut saya merasakan adalah penting untuk mempunyai barisan Exco berwibawa serta mempunyai hubungan baik dengan kerajaan dan semua stake holder yang lain.

“Barisan pengurusan yang dipilih mesti memulakan tugas dengan mendapat sokongan semua pihak,” katanya lagi.