Kemenangan itu membolehkan kontinjen negara meraih emas keenam dan kini mengharapkan kemenangan skuad hoki lelaki ke atas Jepun dalam perlawanan akhir esok untuk mencapai sasaran membawa pulang tujuh pingat emas daripada temasya di Jakarta-Palembang itu.

Muhammad Fauzi mengumpul 20 mata untuk mengatasi Wang Jianxiong dari China yang meraih 42 mata manakala Harshitar Tomar dari India meraih gangsa dengan 62 mata.

Selain kejayaan bersejarah Muhammad Fauzi, Malaysia turut meraih satu pingat perak menerusi Kharulnizam Mohd. Afendy dalam acara Laser Standard dan tiga pingat gangsa menerusi Nuraisyah Jamil-Norashikin Mohamad Sayed (47p wanita), Nur Fatin Solehah-Ilham Wahab (Mixed RS One) serta Nur Shazrin Mohd. Latif (Laser Radial).

“Persaingan agak sengit memandangkan saya baru bermain dalam kelas 4.7 ini jika dibandingkan dengan pasukan lain yang mempunyai pengalaman lebih luas, jadi sukar bagi saya bersaing dengan mereka.

“Sebelum ini saya beraksi dalam acara optimist dalam Sukan SEA yang lalu dan tak sangka mampu melakukan yang terbaik di sini.

“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati kerana impian untuk meraih pingat emas seperti yang disasarkan di pentas besar seperti ini menjadi kenyataan,” kata Muhammad Fauzi ketika ditemui.

Muhammad Fauzi juga tidak menolak kemungkinan untuk menukar acara pada masa akan datang bagi membolehkan dia beraksi dalam Sukan Olimpik.

“Acara saya tidak dipertandingkan dalam Olimpik, mungkin saya akan tukar kepada acara lain kerana saya mahu ke Sukan Olimpik.

“Selepas ini saya akan beraksi dalam Sukma (Sukan Malaysia) tetapi acara masih belum dipastikan,” katanya yang akan mewakili Kedah di Perak seminggu lagi. – UTUSAN

Muhammad Fauzi mengumpul 20 mata, 
22 mata di hadapan pemenang perak 
Wang Jianxiong 
dari China.