Josphat Kiptanui Too Chobei, 32, berjaya menamatkan larian dengan catatan masa dua jam 28 minit dan 02 saat, mengetepikan rakan senegaranya, Elisha Kiprotich Sawe (2:28:14s) dan bekas juara tiga kali berturut-turut, Julius Kiprotich Seurei (2:32:19s).

Kemenangan Josphat itu mengulangi kejayaannya pada LAJSM edisi 2013 yang bergelar juara bagi kategori terbuka lelaki antarabangsa dengan catatan masa 2:07:31.

Kategori wanita pula diraih oleh Jemimah Wayua Musau, 30, selepas mencatatkan masa terbaik dua jam 54 minit dan 50 saat meninggalkan Naumi Jepkosgei (3:07:53s) selaku naib juara dan ketiga, Caroline Kigen (3:12:37s).

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Ibni Amin Busu serta Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Seramai 50,130 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam pelbagai ketegori yang dipertandingkan, dan edisi larian kali ini dianggap paling mendapat sambutan sepanjang penganjurannya, sekali gus meningkatkan prestijnya.-UTUSAN ONLINE