Dalam kejadian terbaharu pada pagi ini, pejabat persatuan itu di Jalan Sepoy Lines di sini diserang menggunakan bahan letupan dipercayai molotov cocktail.

Kejadian itu merupakan tindakan keganasan kali kedua dalam tempoh 24 jam selepas pejabat berkenaan diserang kira-kira pukul 5 pagi kelmarin.

Setiausaha Eksekutif FAP, Muhammad Asyraf Mohamad Yusof berkata, pihaknya hanya me­nyedari kejadian berkenaan apabila tiba di pejabat itu kira-kira pukul 7.55 pagi dan menemukan dua botol arak pecah di hadapan tangga.

Menurutnya, lantai beralas jubin dan dinding kayu berdekatan tangga pejabat itu juga menjadi kehitaman disebabkan kebakaran tersebut.

“Sewaktu saya tiba, banyak serpihan botol arak terbakar di lantai dan ada beberapa serpihan masih menyala.

“Untuk memastikan keselamatan kakitangan FAP yang lain, saya membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana rasa tidak puas hati terhadap prestasi skuad Harimau Kumbang dan pengurusan baharu FAP boleh disalurkan menerusi medium lebih berkesan.

“Untuk itu, mesyuarat tergempar akan diadakan bersama Presiden FAP baharu, Zairil Khir Johari selepas dia pulangan dari luar negara pada 25 Februari ini,” jelasnya.