Mempunyai paras menawan dan berketinggian 1.66 meter, Anja Chong cemerlang di dalam gelanggang luncur ais Sukan SEA dengan membolot tiga pingat emas dalam semua acara yang disertainya iaitu pecut individu 500 meter (m), 1,000m dan 3,000m berganti-ganti.

Dalam temasya ke-29 itu, Malaysia mengambil tindakan ‘berani’ apabila mengorak langkah dengan memasukkan sukan ais itu, yang sekali gus membuka peluang untuk Anja Chong mengukir nama di negara ini.

Mengimbas kembali sewaktu sedang merangkak dalam luncur ais, gadis berusia 23 tahun itu memberitahu dia pada awalnya bukanlah seorang pelumba sebaliknya bermula daripada figure skating.

“Pertama kali saya menjejakkan kaki ke dalam gelanggang ais sewaktu meraikan ulang tahun rakan saya. Pada waktu itu saya berusia sembilan tahun. Dari saat itu, saya mula mempelajari luncur ais. Saya bermula dengan figure skating.

“Saya sebenarnya sukakan kelajuan dan sentiasa berlumba-lumba dengan rakan di dalam gelanggang ais. Pada usia 15 tahun, saya mengambil keputusan untuk beralih dari figure skating dan menyertai perlumbaan trek.

“Kakak saya merupakan pendorong utama untuk saya kekal serius dalam acara baharu ini. Bagaimanapun beberapa tahun selepas itu, saya terpaksa melupakan sukan ini seketika untuk memberi tumpuan dalam pelajaran,” kata atlet kelahiran Singapura itu.

Anja Chong pernah menempa nama sewaktu mewakili republik itu, dengan muncul peluncur Singapura pertama meraih pingat di pentas antarabangsa apabila menggenggam gangsa dalam Cabaran Remaja Asia Figure Skating pada 2008.

Malah, dia juga menjadi peluncur pertama Singapura mengambil bahagian dalam Kejohanan Remaja Dunia Figure Skating 2009, sebelum beberapa tahun kemudian mewakili negara kelahiran ibu bapanya, Malaysia selepas menetap di Kuala Lumpur.

Menyentuh soal hati, ratu luncur ais tersebut tidak berselindung dengan mendedahkan dirinya telah pun disunting, namun merahsiakan identiti jejaka pilihannya itu.

“Saya sudah berpunya. Hubungan kami terjalin pada tahun ini. Sebenarnya agak sukar untuk seseorang atlet itu menjalinkan hubungan sebegini disebabkan masa yang ada banyak dihabiskan di atas ais,” katanya.